Categories
Pertanian

95 peratus peserta Program Agropreneur Muda tingkat pendapatan

SANDAKAN, 20 Mac — Kira-kira 95 peratus peserta Program Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seluruh negara berjaya meningkatkan pendapatan mereka.

Pengarah Unit Agropreneur Muda MAFI Mohammad Ezri Shamsuddin berkata sasaran kementerian untuk meningkatkan pendapatan usahawan tani melebihi 50 peratus berjaya dicapai sejak program itu ditawarkan pada 2016 lepas.

“Malah, kementerian juga mempunyai ikon-ikon (Program Agropreneur Muda) dan ada dalam kalangan mereka telah bergelar jutawan dalam sektor pertanian,” katanya kepada pemberita selepas Program Klinik Usahawan Agro Daerah Beluran di sini hari ini.

Katanya, MAFI akan terus berusaha membantu peserta program mencapai sasaran pendapatan yang ditetapkan melalui khidmat nasihat selain pemberian geran.

“Geran Program Agropreneur Muda ini diberikan sekali sahaja. Tetapi kementerian akan terus membantu mereka bangkit semula daripada kegagalan.

“Kita sedar dalam berniaga ini, bukannya senang. Tetapi kementerian memang sentiasa menggalakkan mereka untuk menceburi dalam bidang pertanian dan kekal aktif dalam bidang ini,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Politik kepada Menteri MAFI Iswan Sonteng berkata program itu telah berjaya membantu seramai 6,969 usahawan muda berumur di antara 18 hingga 40 tahun.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 6,908 telah menerima geran berjumlah RM121.96 juta, manakala baki 61 orang menerima bantuan dalam bentuk pembiayaan berjumlah RM4.26 juta sejak 2016.

Di Sabah, seramai 534 Agropreneur Muda menerima geran berjumlah RM8 juta sejak 2016, katanya.

“Pada tahun lepas (2020), seramai 86 Agropreneur Muda di Sabah menerima geran berjumlah RM1.65 juta. Jumlah ini lebih tinggi berbanding 73 orang pada 2019 dan 23 orang pada 2018,” katanya.

— BERNAMA

Categories
Pertanian

Kisah Kejayaan Datuk Yap Yun Fook – Ikon Pertanian Malaysia

Kepakaran beliau (Yap) bukan di bilik darjah tetapi pengalaman di ladang, beliau mengetahui selok-belok dalam industri ini.

Berasal dari Kampung Agudon Keningau, beliau bermula dengan 2 ekor lembu sahaja, selepas 37 tahun beliau mempunyai 5000 lembu, menghasilkan 4 juta liter susu setiap tahun, pembekal susu segar terbesar di Malaysia.

Yap menghasilkan ladang mesra alam, tidak ada satu pun pembaziran kerana kesemua buangan digunakan semula untuk kegunaan pembangunan sumber yang lain.

Beliau berjaya membangunkan pelbagai industri dalam tempoh 37 tahun meliputi pertanian, penternakan dan perikanan, kesemuanya berjaya.

Antara produk/aset beliau ialah ternakan lembu, ternakan ikan talapia, ladang nenas (Keningau Diamond), ladang dan nursery durian.

Selain itu beliau juga menanam padi dan hasilkan beras (Desa Rice), kilang kelapa sawit dan nursery, burung walit, zoo buaya, kilang papan, kilang simen dan banyak lagi.

Yap merupakan penerima Malaysian Livestock Industri Award 2018, Panel Bengkel Hala Tuju Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Professor Adjung Univeriti Malaysia Sabah (UMS) dan Anggota Majlis Penasihat Pertanian Malaysia, Ikon Pertanian Tersohor Malaysia 2019.

Usaha yang beliau lakukan secara khusus dan terperinci belum ada dimana-mana di Malaysia, ia hanya satu-satunya di Keningau sekaligus memartabatkan Malaysia dimata dunia.

Pendekatan yang diperkenalkan oleh Yap sepatutnya dikembangkan sebagai amalan ladang bersepadu terbaik di Malaysia.

Penulis yang juga berasal dari Sabah (Kota belud) menjadikan beliau sebagai sifu dalam bidang pertanian kerana pengalaman beliau amat berharga untuk generasi muda.

Semoga informasi ini dapat menyuntik ramai lagi generasi muda berkecimpung dalam dunia pertanian, perikanan dan penternakan kerana ia adalah perusahan yang menguntungkan – Sifudurian

Penulis: Donny Ien – Don Nursery Kota Belud