Categories
Uncategorized

RM21 juta pembiayaan Agro-YES untuk anak muda

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan RM21 juta bagi Agro-Youth Entrepreneur Scheme (Agro-YES) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000 untuk anak muda dalam bidang keusahawanan pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata Agro-YES, yang merupakan penjenamaan semula Pembiayaan Khas Agropreneur Muda yang diuruskan Agrobank, ditambah baik antaranya pengurangan birokrasi dalam rantaian permohonan dan tempoh masa pemprosesan.

Sebelum ini, katanya semua permohonan bagi pembiayaan perlu melalui jabatan atau agensi di bawah MAFI untuk sokongan sebelum dikemukakan kepada Agrobank.

Advertisement

“Dengan penambahbaikan sekarang, permohonan boleh terus dibuat kepada Agrobank. Tempoh pemprosesan juga dipendekkan kepada 14 hari berbanding dua bulan sebelum ini,” katanya kepada media selepas melancarkan Agro-YES, di sini hari ini.

Ronald berkata pembiayaan di bawah Agro-YES itu melibatkan pembayaran balik sehingga tujuh tahun dengan kadar faedah dua peratus.

Pada tahun lepas, katanya penglibatan golongan muda untuk mendapatkan geran dan pembiayaan adalah seramai 1,159 orang dengan jumlah RM23 juta berbanding hanya 764 orang dengan jumlah RM13.7 juta pada 2019.

“Kita ingin melihat anak muda berumur 18 tahun hingga 40 tahun menceburi bidang pertanian bukan hanya peladang, penternak tetapi dalam rantaian industri keseluruhannya,” katanya.

Ditanya perkembangan cadangan skim insurans untuk penggiat industri pertanian dan agromakanan, Ronald berkata perkara itu masih dalam perbincangan dan Agrobank dipertanggungjawabkan untuk mengolah satu bentuk polisi yang sesuai.

Elemen insurans, kata beliau menjadi satu keperluan untuk pemain industri melihat sektor agromakanan negara dikembangkan sepenuhnya.

Ronald sebelum ini dilaporkan berkata skim insurans itu dilihat perlu kerana punca pendapatan para petani sering terjejas disebabkan bencana alam saban tahun. – BERNAMA

One reply on “RM21 juta pembiayaan Agro-YES untuk anak muda”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *