Categories
Uncategorized

7,266 permohonan pembiayaan PKS PENJANA libatkan RM1.366 diluluskan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan sejumlah 7,266 permohonan melibatkan nilai pinjaman RM1.366 bilion menerusi Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), setakat 19 Mac, 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) berkata kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi inisiatif itu yang mengutamakan PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.

Beliau berkata setakat 26 Mac, 2021, dana Bumiputera Relief Financing (BRF) yang diperkenalkan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), telah disalurkan kepada 749 PKS melibatkan RM226.8 juta berbanding 675 PKS dengan dana sebanyak RM195.2 juta pada minggu sebelumnya.

“Sejumlah RM11.82 bilion di bawah Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan Bank Negara Malaysia (BNM) telah diluluskan dan akan dimanfaatkan oleh 24,921 PKS.

“Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Agromakanan (AF),” katanya ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-48, pada Rabu.

Tengku Zafrul berkata walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui tabung BNM seperti ADF, AES dan AF.

Beliau berkata PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imsme.com.my yang boleh membantu membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk PKS.

Sementara itu, setakat 26 Mac, 2021 Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA telah meluluskan 308 permohonan daripada jumlah keseluruhan 626 permohonan, dengan nilai pembiayaan sebanyak RM61.9 juta, katanya.

Beliau berkata bagi Sokongan Penggunaan Teknikal dan Digital PKS dan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTC), sebanyak RM55.5 juta disalurkan dalam bentuk geran dan pinjaman kepada 12,476 perniagaan langganan perkhidmatan digitalisasi setakat 26 Mac, 2021.

Tengku Zafrul berkata menerusi inisiatif CENDANA pula, sebanyak RM2.43 juta telah disalurkan kepada 441 penerima terdiri daripada kalangan seniman, kolektif dan organisasi terlibat aktif dalam sektor seni dan budaya Malaysia.

“Para penggiat industri kreatif disaran untuk menggunakan peluang yang disediakan ini untuk menghasilkan karya mereka. Semua pemain industri terlibat boleh memohon bantuan dengan agensi berkaitan dengan melayari www.mycreative.com.my dan www.cendana.com.my,” katanya.

Beliau turut meminta peniaga kecil dan usahawan mikro supaya memohon Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 yang kini dibuka untuk permohonan sehingga 15 April, 2021.

Pada 17 Mac, 2021 Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan GKP 3.0 di bawah inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dengan setiap perusahaan mikro dan PKS yang layak akan menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM1,000. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *