Categories
Pertanian

95 peratus peserta Program Agropreneur Muda tingkat pendapatan

SANDAKAN, 20 Mac — Kira-kira 95 peratus peserta Program Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seluruh negara berjaya meningkatkan pendapatan mereka.

Pengarah Unit Agropreneur Muda MAFI Mohammad Ezri Shamsuddin berkata sasaran kementerian untuk meningkatkan pendapatan usahawan tani melebihi 50 peratus berjaya dicapai sejak program itu ditawarkan pada 2016 lepas.

“Malah, kementerian juga mempunyai ikon-ikon (Program Agropreneur Muda) dan ada dalam kalangan mereka telah bergelar jutawan dalam sektor pertanian,” katanya kepada pemberita selepas Program Klinik Usahawan Agro Daerah Beluran di sini hari ini.

Katanya, MAFI akan terus berusaha membantu peserta program mencapai sasaran pendapatan yang ditetapkan melalui khidmat nasihat selain pemberian geran.

“Geran Program Agropreneur Muda ini diberikan sekali sahaja. Tetapi kementerian akan terus membantu mereka bangkit semula daripada kegagalan.

“Kita sedar dalam berniaga ini, bukannya senang. Tetapi kementerian memang sentiasa menggalakkan mereka untuk menceburi dalam bidang pertanian dan kekal aktif dalam bidang ini,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Politik kepada Menteri MAFI Iswan Sonteng berkata program itu telah berjaya membantu seramai 6,969 usahawan muda berumur di antara 18 hingga 40 tahun.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 6,908 telah menerima geran berjumlah RM121.96 juta, manakala baki 61 orang menerima bantuan dalam bentuk pembiayaan berjumlah RM4.26 juta sejak 2016.

Di Sabah, seramai 534 Agropreneur Muda menerima geran berjumlah RM8 juta sejak 2016, katanya.

“Pada tahun lepas (2020), seramai 86 Agropreneur Muda di Sabah menerima geran berjumlah RM1.65 juta. Jumlah ini lebih tinggi berbanding 73 orang pada 2019 dan 23 orang pada 2018,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *