Categories
Isu Semasa

MAQIS tahan kontena koko berulat dari Uganda

Sebuah kontena yang membawa 24,210 kilogram (kg) koko dari Uganda ditahan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini, berikutan dikesan mengandungi serangga perosak, kelmarin.- Foto NSTP/Ihsan MAQIS

ISKANDAR PUTERI: Sebuah kontena yang membawa 24,210 kilogram (kg) koko dari Uganda ditahan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini, berikutan dikesan mengandungi serangga perosak, kelmarin.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor, Nur Afifah A Rahman, berkata hasil pemeriksaan rutin dijalankan oleh penguatkuasa mendapati, kontena berkenaan membawa koko yang dianggarkan bernilai RM227,213.27 mempunyai serangga perosak pada koko berkenaan.

Katanya, kontena berkenaan ditahan kira-kira jam 10 pagi kelmarin, untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport produk pertanian yang dipercayai mempunyai perosak, penyakit atau bahan cemar.

“Kesalahan berkenaan boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda maksimum RM150,000 atau dipenjarakan maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Nur Afifah berkata, MAQIS turut berjaya menahan sebuah kontena yang membawa 16,786 kg sayur segar dari negara China kerana membuat perisytiharan mengelirukan, pada hari yang sama.

Katanya, hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh penguatkuasa MAQIS mendapati kontena berkenaan membawa sayur segar yang dianggarkan bernilai RM45,115.17, namun maklumat pada dokumen sayur segar itu tidak sama dengan label terdapat pada sayur segar berkenaan.

“Alamat pengimport tidak sama seperti yang diisytiharkan di dalam permit dan label ditampal.

“Kesemua sayur segar berkenaan ditahan untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantindan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

“Kesalahan berkenaan boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara selama maksimum dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan ke dua atau yang berikutnya didenda maksimum RM75,000 atau

dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya,” katanya – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *