Categories
Isu Semasa

Sektor pertanian masih kurang diminati, hanya 2,982 jawatan diisi tahun lepas – Saravanan

Sektor pertanian perlu menjadi lebih kreatif dan menjenama semula pekerjaan untuk menarik perhatian golongan belia. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata hanya 2,982 daripada 18,547 kekosongan yang wujud dalam sektor pertanian telah diisi tahun lepas.

Beliau berkata, statistik Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (SIP Perkeso) itu menunjukkan sektor pertanian masih kurang diminati dalam kalangan pencari kerja yang majoritinya terdiri daripada lepasan sekolah dan siswazah.

“Mungkin inilah masanya bagi sektor pertanian menjadi lebih kreatif dan menjenama semula pekerjaan untuk menarik perhatian golongan belia,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

Saravanan berkata pihaknya memahami kesukaran pihak industri dalam sektor agrikomoditi berhubung isu kekurangan tenaga kerja berikutan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan pembekuan pengambilan pekerja asing baharu dalam semua sektor.

Katanya sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, kerajaan telah memberi kelonggaran kepada majikan yang terkesan, sama ada tidak berupaya ataupun sukar meneruskan penggajian pekerja asing, untuk memindahkan keseluruhan atau sebahagian pekerja asing mereka kepada syarikat lain melalui program Permohonan Pertukaran Majikan.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri juga telah melancarkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin bermula 16 November 2020 hingga 30 Jun 2021 merangkumi Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Selain itu, inisiatif di bawah Program PenjanaKerjaya iaitu “Malaysianization” juga telah diperkenalkan melibatkan penggantian jawatan pekerja asing oleh pekerja tempatan dengan insentif kepada majikan meliputi 40 peratus daripada gaji bulanan dengan nilai maksimum RM4,000.

“Sebanyak RM500 atau 20 peratus daripada gaji bulanan, atau mana yang lebih tinggi, akan dibayar terus kepada pekerja. Insentif ini layak diterima untuk tempoh enam bulan,” katanya.

Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 yang diadakan secara maya selama dua hari bermula hari ini menawarkan lebih 8,600 kekosongan jawatan oleh 26 majikan merangkumi pelbagai program yang dirangka khas termasuk Webinar Kerjaya serta taklimat berkaitan PenjanaKerjaya 2.0.

Karnival itu dianjurkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dengan kerjasama KSM menerusi Perkeso dan pencari kerja boleh mendaftar di pautan https://careerfair.perkeso.gov.my – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *