Categories
Isu Semasa

Impak Covid Pada Sektor Penternakan Negara

Impak Covid-19

Pada Sektor Penternakan Negara

Impak Covid Pada Sektor Penternakan Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email

PADA awalnya kesan negatif terhadap sektor penternakan dirasakan tetapi tidak lupa juga pada kesan positif yang berlaku, ada sebilangan individu menikmati hasil yang lumayan pada saat wabak sedang mengganas. Sektor penternakan pula mempunyai banyak cabang yang menarik untuk diceburi, dan semestinya bagi sesiapa yang berminat perlu mengikuti permintaan pasaran yang sedia ada mahupun permintaan baharu.

Langgan Penjana Hijau, Hanya RM 36 Selama Setahun!

KESAN POSITIF COVID-19 PADA SEKTOR PENTERNAKAN NEGARA

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, penularan wabak COVID-19 berjaya dikawal. Natijahnya, dalam setiap pekerjaan atau aktiviti perlu ada peraturan dan ketetapan yang mesti digariskan supaya keselamatan diri diutamakan, begitu juga untuk sektor penternakan.

Perintah seumpama ‘PKP’ telah dilaksanakan bertahun lamanya kepada ternakan yang merentas negeri, sepertimana yang diketahui peratusan penularan penyakit kuku dan mulut pada ternakan lembu pada tahun ini menurun. Ini kerana terdapat kekangan prosedur untuk pergerakan ternakan merentasi negeri.

Permintaan pasaran kepada bahan makanan seperti daging lembu, ayam dan telur tidak pernah berkurangan, walaupun dalam keadaan wabak berlaku keadaan pasaran seperti “tiada wabak yang sedang berlaku”. 

Industri ayam antara yang terkesan di awal perlaksanaan PKP namun dapat diatasi dengan baik.

Sehinggakan pada awal PKP dilaksanakan harga ayam rendah dan lambakan berlaku, ini terjadi ketika masyarakat mula mengalami pembelian panik. Namun kejadian ini berlaku bagi tempoh tertentu dan di sesetengah tempat sahaja, situasi ini menilai tahap keselamatan bekalan makanan negara.

Suasana pemasaran juga berubah sewaktu PKP dilaksanakan, pemasaran produk berasaskan ternakan lebih kepada “pengusaha terus kepada pengguna” bukan lagi “pengusaha kepada pekedai”. Ianya menguntungkan pengguna sebenarnya. Malah dengan wujudnya laman sesawang e-dagang khusus untuk pemasaran produk berasaskan ternakan seperti Agrobazaar Online memudahkan lagi pengguna dan pengusaha untuk berurus niaga. Secara tidak langsung COVID-19 telah memaksa para pengusaha untuk mencuba gaya pemasaran baharu.

Selain pemasaran yang berubah, aktiviti penternakan semakin hangat dibicarakan, dan semakin mendapat tempat di hati golongan muda untuk memulakan penternakan. Antara cabang penternakan yang semakin mendapat perhatian adalah penternakan ayam kampung (hangat diperdebatkan antara penternakan Ayam Kampung Kacukan (AKK) dan Ayam Kampung Asli (AKA)), kambing, lembu dan juga penternakan arnab. Namun suka diingatkan di sini, pastikan kajian dan pembelajaran dilakukan terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti komoditi ini, kerana tidak mahu kegagalan anda dituding kepada pelbagai pihak lain.

Juru suntik permanian beradas sedang melakukan inseminasi buatan dalam kawasan yang dihadkan.
Altiviti harian penternakan diteruskan seperti biasa semasa PKP

KESAN NEGATIF COVID-19 PADA SEKTOR PENTERNAKAN NEGARA

Sepertimana yang dirasai, PKP telah menghadkan pergerakan semua pihak sehinggakan ada penternak yang didenda kerana keluar untuk memotong rumput bagi bekalan makanan ternakan. Kejadian ini terjadi pada awal PKP dilaksanakan, kemudiannya membawa kepada permasaalahan kepada pergerakan ternakan merentasi negeri. Pada sudut negatif, ianya menjadi kesukaran bagi memenuhi permintaan semasa yang pasaran mahukan. Seterusnya menyebabkan harga produk meningkat seketika, ada tempat yang terpaksa dicatu pembelian telur ayam.

Pergerakan operasi berasaskan veterinar dan juga juru suntik permanian beradas / artificial insemination (AI) juga terbatas bagi memenuhi permintaan penjagaan kesihatan ternakan dan aktiviti pembiakbakaan ternakan. Program sebegini amat penting bagi memastikan pertambahan bilangan ternakan sentiasa ada, seimbang dengan keperluan dalam Negara. Bagi mengatasi masalah itu, penternak sendiri perlu membuat penjagaan kesihatan dan rawatan, namun masalah pergerakan mula selesai setelah mendapat keizinan daripada pihak berkuasa dan ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Penularan berita palsu juga menyebabkan sektor penternakan terjejas, penemuan virus Korona pada haiwan ternakan dan haiwan peliharaan menjadi kebimbangan seperti COVID-19, walhal virus Korona memang sudah sedia wujud pada haiwan dan mengganggu kesihatan haiwan yang dijangkiti. Tetapi, Novel Coronavirus (COVID-19) adalah virus yang memberi kesan kesihatan kepada manusia bukan virus Korona yang sedia ada pada haiwan sebenarnya tidak memberi kesan kesihatan kepada manusia.

Perkara negatif ini bukan hanya berlaku di Malaysia, harga daging lembu Wagyu yang terkenal mahal mula tidak stabil di Jepun, import export ternakan di antara benua terjejas, pasaran susu lembu yang mempunyai lambakan bekalan berlaku di negara pengeluar seperti Australia, dan ketidak tentuan pasaran global sedikit sebanyak memberi kesan kepada aktiviti penternakan di Malaysia juga. Penentuan kelangsungan aktiviti komoditi ini (terutamanya penternakan) adalah bersandarkan pada bekalan dan permintaan, jika ada yang mengganggu kedua-dua elemen ini sudah tentu mengganggu menghasilan ekonomi yang stabil bagi sektor penternakan.

Dalam keadaan wabak COVID-19 berlaku, sudut positif perlu diekploitasikan dengan sepenuhnya bagi menampung kesan negatif yang menggugat kehidupan normal kita. Bagi sesiapa yang berjaya mengharungi wabak ini dengan baik, mereka akan mendahului dalam memenuhi keperluan dan permintaan semasa pasaran!

Penjana Hijau | E-Majalah Pertanian Pertama Malaysia

No 21, Lorong Pokok Seraya 5G, Taman Khidmat, 88450 Kota Kinabalu, Sabah

E: info@penjanahijau.com