Penjana Hijau

E-Mag Pertanian Pertama Malaysia

Penjana Hijau, E-Mag Pertanian Pertama Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempohari telah membataskan pergerakan orang ramai. Tidak dapat ke pejabat, sekolah, pasar, pusat beli belah, melancong dan malah tidak dapat pulang beraya Aidilfitri ke kampung masing-masing. Ramai yang telah sedar terutamanya majikan bahawa, tugasan pejabat boleh sahaja diselesaikan di rumah dan anak anak masih boleh meneruskan pembelajaran walaupun tidak ke sekolah. Barang-barang keperluan dan makanan masih boleh dihantar ke rumah walaupun anda tidak boleh ke sana dan ke sini. 

Langgan Penjana Hijau, Hanya RM 36 Selama Setahun!

Covid19 membawa norma kehidupan baru seluruh umat manusia.

Kenyataannya, kehidupan manusia berjalan seperti biasa walaupun tidak pergi ke mana-mana. Ini adalah kerana teknologi digital yang kita ada pada masa kini, semuanya adalah di hujung jari sahaja!

Di sebaliknya pula, pada masa yang sama ada juga yang telah hilang pekerjaan apabila banyak syarikat sudah tidak dapat menampung kos dan gaji pekerja menyebabkan ia terpaksa mengurangkan perbelanjaan dan ada yang terpaksa ditutup. Ini adalah antara kesan gelap akibat wabak merbahaya ini. Namun kita masih bersyukur apabila pihak kerajaan telah memperkenalkan beberapa insentif dan bantuan untuk rakyat, antaranya Pakej PRIHATIN, Pakej PRIHATIN PKS Tambahan, keluaran I-Lestari KWSP, moratorium atas beberapa bentuk pinjaman bank dan pelbagai lagi. Objektif utama supaya pusingan wang masih dapat berjalan dan ekonomi menjadi berdaya tahan di dalam negara.

Apa yang diperhatikan dalam masa PKP, masing-masing duduk rumah dan secara tiba-tiba mempunyai banyak masa terluang, maka ramai yang berusaha untuk memanfaatkan segala ruang yang ada di dalam dan sekeliling rumah terutamanya untuk bercucuk tanam, tidak kira secara skala besar atau pun hanya menggunakan pasu-pasu kecil. 

Ramai yang mula bercucuk tanam sayur-sayuran dan ada yang menanam pokok buah-buahan, apabila habis PKP boleh dipindahkan ke kebun dan diteruskan pertumbuhannya supaya dapat memberikan hasil kelak. Pada masa yang sama ada yang memulakan menghias lanskap rumah dengan tanaman bunga-bungaan, menternak haiwan untuk daging seperti ayam, itik, puyuh, arnab, kambing dan lembu serta ada juga membela ikan sebagai sumber makanan.

Pertanian mendapat liputan meluas semasa PKP bagi mengisi masa lapang masyarakat.

Pada mulanya majalah ini ingin dikeluarkan secara bercetak, namun setelah dikaji secara mendalam telah didapati medium cetak di atas kertas sudah menjadi tidak relevan dewasa kini. Generasi muda kebanyakannya memilih bahan bacaan terutamanya majalah secara digital yang boleh dicapai melalui sentuhan di skrin telefon pintar atau Ipad/Tablet atau melalui komputer. Pembaca tidak perlu lagi ke sana dan sini mencari majalah bercetak di pasaran, hanya perlu klik langganan setahun, dan setiap awal bulan majalah akan dapat dibaca di skrin. Pembaca juga tidak perlu lagi ruangan khas di rumah untuk menyimpan bahan bacaan, segalanya boleh dibaca atas talian atau dimuat turun (download) dan disimpan di dalam satu folder dan boleh diakses pada bila-bila masa sahaja.

Dunia pada masa kini juga bergerak atas landasan ‘paperless’ iaitu kurang penggunaan kertas supaya impaknya di masa hadapan adalah dunia yang lebih hijau dengan hutan simpan yang terjaga dan tidak dieksploitasi untuk tujuan yang sia-sia. E-majalah telah dipilih sebagai media yang bakal digunakan untuk majalah terbaru ini. Satu bahan bacaan yang boleh dibaca terus di telefon pintar masing-masing tanpa perlu penggunaan skrin yang lebih besar seperti komputer atau Ipad/Tablet. Dengan saiz e-majalah 14.8cm x 27.0cm, anda tidak perlu memperbesarkan skrin telefon pintar, hanya perlu leret jari (scroll) ke atas dan ke bawah sahaja untuk membaca. Mudah, cepat dan pantas!

Alangkah indah jika tanah-tanah terbiar ini dapat diusahakan hingga menjanakan hasil. Sememangnya benar kebanyakan tanah tanah ini mungkin sahaja bertuan dan tidak sewenang-wenangnya dibuat sesuka hati, tetapi bukankah ada banyak cara untuk diusahakan, mungkin dibeli, dipajak, disewa, dibayar tol dan sebagainya. Pokok pangkal tepuk dada tanya selera. Paling tidak, boleh sahaja usahakan kawasan sekeliling rumah sendiri, biarpun di beranda apartment, kondominium dan sebagainya. Sekurang-kurangnya perbelanjaan untuk cili dapat dijimatkan apabila ia dapat dipetik dari luar tingkap rumah sahaja!

Harap anda semua sentiasa dapat menyokong e-majalah PENJANA HIJAU, terima kasih…

Penjana Hijau | E-Majalah Pertanian Pertama Malaysia

No 21, Lorong Pokok Seraya 5G, Taman Khidmat, 88450 Kota Kinabalu, Sabah

E: info@penjanahijau.com